KEPENTINGAN PENULISAN

Suatu masa dahulu manusia menyebarkan ilmu, berita, cerita, dan sebagainya dari mulut ke mulut. Cara ini terdedah kepada pelbagai ketidaktentuan. Ada orang boleh ingat banyak perkara kerana mempunyai ingatan yang luar biasa. Ada orang yang tidak mempunyai ingatan sebegitu. Ada orang lebih memikirkan soal kepentingan daripada yang lain-lain. Lantaran itu berlakulah tokok tambah, pengurangan, kemasukan hal lain mengikut kecenderungan dan matlamat, serta kecairan.

Kesemua yang disebutkan itu merupakan kekurangan yang dihadapi oleh tradisi lisan dalam kehidupan manusia. Sehubungan itu, sistem tulisan telah dihasilkan untuk mengatasi kekurangan tradisi lisan. Melalui tulisan manusia dapat mencatat, menyimpan, membanyakkan salinan, dan menyebarkan sesuatu kepada umum.

Oleh sebab itu, institusi pendidikan ditubuhkan untuk mengajar manusia tulis baca. Semua ilmu ditulis, dibaca, dan dipraktik untuk mendorong kemajuan. Anak-anak diajar berbahasa dengan baik, berbudaya, dan beragama. Kesemua aspek yang dinyatakan itu membentuk tamadun sesuatu kaum.

Semakin tinggi penguasaan ilmu sesuatu bangsa itu, semakin tinggilah tamadunnya. Tampaklah kepada kita betapa pentingnya penulisan kepada manusia. Sehubungan itu, setiap manusia bertanggungjawab untuk menyumbang kepada anggota masyarakat yang melingkunginya. Dengan kata lain, dia perlu menyampaikan buah fikirannya untuk membantu masyarakat.

Bantuan itu mungkin berbentuk nasihat, membetulkan sesuatu yang salah, membaiki kekurangan, menambah baik sesuatu, cadangan, dan sebagainya. Melaluinya masyarakat mampu membuat keputusan, merancang, dan mengatasi masalah.

Pernyataan-pernyataan di atas membuktikan betapa pentingnya penulisan dalam kehidupan manusia. Penulisan tidak lahir dengan sendirinya. Perlu ada penulis untuk melahirkan pelbagai jenis buku. Kepelbagaian itu memerlukan banyak penulis. Penulis yang melahirkan buah fikiran akan diberi ganjaran dalam bentuk wang. Dari sinilah bermulanya penerbitan.

Penerbit memerlukan sokongan penulis untuk menerbitkan bahan bacaan. Bahan-bahan bacaan perlu diperbanyak melalui percetakan. Lalu terserlah kepada kita satu rangkaian penerbitan hasil penulisan. Banyak wang berlegar dalam pusingan itu. Sesiapa juga boleh mengambil peluang ini menjadi sama ada penulis, penerbit, atau pencetak untuk berkongsi pendapatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: